Thursday, November 25, 2010

Akidah Islamiah - Bhg 1: Makna 2 Kalimah Syahadah

ASYHADU AN LA ILAHA ILLALLAH


"أشهد أن لا إله إلا الله"

Ia mengandungi fahaman maknanya, bahawa aku menaik saksi; memberi pengakuan yang teguh dengan lidah dan berkeyakinan penuh di hati; mengakui akan bahawasanya tiada yang sah diibadatkan dengan sebenarnya melainkan Allah. Dengan kitabNya yang mulia, yang diturunkan kepada nabiNya yang dibangkitkan menjadi PesuruhNya (RasulNya) itu, mengetahuilah kita sekelian hamba Allah ini atas lidah rasulNya itu akan bahawasanya Allah Taala Tuhan kita Jalla Wa Azza itu iaNya ada maujudun (موجود), qadimun (قديم) , azaliun (ازلي), baqin (باق); dan adaNya Allah Taala itu iaNya ada sentiasa ada, selama-lamanya ada, tiada berkeputusan adaNya; dan adaNya Allah Taala itu, tiada bagiNya permulaan; dan tiada bagiNya kesudahan; dan Allah Taala itu, tidak ada bagiNya misal, tidak ada bagiNya bandingan, tidak ada bagiNya umpama dan tidak ada bagiNya keadaan yang berlawanan; dan sentiasalah Allah Taala itu mempunyai kemuliaan dan kesempurnaan.

بل " هو الأول والأخـر والظاهر والباطن وهو بكل شئ عليم"

Bahkan “Allah Taala itu ialah yang awal yang tiada berawal bagiNya dan ialah yang akhir yang tiada berakhir bagiNya dan ialah yang zahir, aiy (yakni) al-a’ali yakni Yang Maha Tinggi dan Maha Suci daripada segala kekurangan, yakni tidak sekali-kali Allah Taala itu menyamai segala apa juga barang yang diadakan olehNya; dan ialah yang batin, aiy (yakni):

(المحتجب عن الحواس بحجب كبريائه)

(al-Muhtajibu a’nil-hawasi bihijbi kibria-ihi) yakni ialah yang terdinding daripada segala pendapatan pancaindera yang lima dengan dindingan kebesaran dan kemuliaan-Nya; dan Allah Taala itu dengan tiap-tiap suatu ia amat mengetahui”.

Sumber: Kitab Terjemah Akidah Ahli Assunah Waljamaah oleh Al-Ustaz Haji Mohammad Ismail Salleh

No comments:

Post a Comment