Wednesday, April 28, 2010

Bangau oh Bangau...

Bangau oh bangau kenapa engkau kurus?
Macamana aku tak kurus, rumput panjang sangat
Rumput oh rumput, kenapa engkau panjang?
Macamana aku tak panjang, kerbau tak makan aku
Kerbau oh kerbau....



Lagu seloka rakyat ini menjadi lagu ketika kita didodoikan di dalam buaian. Tanpa kita sedari, lagu ini membudayakan kita kepada sikap menyalahkan orang lain. Bangau tidak merasa kekok untuk menyalahkan rumput dan rumput pula dengan senang hati menunding jari kepada kerbau. Dan ini berterusan hinggalah rantaian menyalahkan pihak lain sampai kepada ular. Dan hanya ular yang tidak mengambil keputusan untuk menyalahkan orang lain dengan menyatakan bahawa katak itu memang makanannya. Mungkin juga ini satu cara untuk menamatkan seloka ini jika tidak, ia mungkin mengambil ratusan muka surat untuk dihabiskan.

Sindrom "bangau oh bangau" ini telah menjadi darah daging dalam kehidupan kita setiap hari. Apabila Calon PKR Dato' Zaid kalah dalam PRK Hulu Selangor pada hari Ahad yang lalu, alasan BN menabur wang jutaan ringgit serta serangan peribadi keatas Dato' Zaid menjadi sebab PKR tidak berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor. Di luar negara, sebuah syarikat penerbangan eropah mengurangkan pekerjanya hanya setelah beberapa hari awan gunung berapi melanda ruang angkasa penerbangan eropah.

Contoh di atas merupakan satu sindrom bahawa setiap masalah itu bukan masalah kita, tetapi masalah mereka yang kita tak perlu dipertanggungjawabkan. Jika ini menjadi budaya kehidupan kita, nescaya kita akan terus terjerumus ke dalam zon selesa (confort zone) yang tidak memberi sebarang tekanan untuk kita bangun membetulkan diri sendiri. Zon selesa adalah musuh utama setiap individu dan juga setiap organisasi yang mahukan kecemerlangan (excellence). Sesungguhnya sindrom "bangau oh bangau" ini merupakan titik mula untuk kita memasuki zon tersebut. Ini tidak jauh bezanya dengan fahaman bahawa nasi secupak tidak akan menjadi segantang!

Andainya Rasulullah SAW berfikiran seperti ini, nescaya Islam tidak akan sampai pada kita. Masha-Allah, dengan izin Allah melalui Nabi Muhammad SAW, Islam telah sampai ke seluruh pelusuk dunia. Bayangkan bagaimana Rasulullah SAW mengatur strategi untuk berhijrah ketika kaum musyrikin telah mengepung kediaman Baginda SAW. Ini adalah sedikit kisah sirah Rasulullah SAW yang kita boleh ambil sebagai iktibar bahawa zon selesa tidak harus dibiarkan "selesa".

Ayuhlah saudaraku, marilah kita fikirkan dan ambil tindakan untuk "mengoncang perahu" (Rock the Boat) kita supaya kita tidak merasa selesa dengan apa yang kita ada hari ini demi untuk menjadikan peningkatan berterusan (continuous improvement) atau kaizen satu budaya umat Islam hari ini. Namun, harus ditekankan disini bahawa dalam mengarah usaha kita untuk mencapai kecemerlangan dan peningkatan yang berterusan, kita harus terus merasa rendah diri dan redha dengan ujian Allah SWT. Tidak termakan dengan umpanan syaitan yang mahu kita berbangga-bangga diri dan bongkak di muka bumi Allah SWT ini.

Ya Allah, berilah pada kami semua kekuatan dalam terus meningkat diri kami dalam memperhambakan diri kami pada Mu ya Allah, Ameen.

5.23pm @ Ang Mo Kio St 64
April 28th, 2010

No comments:

Post a Comment