Thursday, August 12, 2010

Tazkirah Ramadhan: Puasa dan Integriti

Ibadah puasa di bulan Ramadhan difardukan keatas setiap Muslim yang cukup syarat untuk berpuasa. Puasa adalah satu-satunya ibadah "sulit" yang mana hanya orang yang berpuasa dan Allah sahaja yang tahu. Tidak seperti ibadah yang lain seperti solat, zakat dan haji yang melibatkan perlakuan fizikal serta melibatkan orang lain. Ibadah puasa hanya menahan lapar dan dahaga serta menjaga kesempurnaan puasa. Ianya tidak melibatkan perlakuan fizikal yang specifik. Dalam erti kata yang lain, kalau kita tak cakap yang kita ini berpuasa, nescaya tidak akan ada manusia lain yang tahu kita ini berpuasa.



Allah SWT menjadikan ibadah puasa ini satu ibadah yang sulit untuk menguji tahap integriti seseorang individu serta imannya pada Allah SWT. Andainya seseorang muslim itu tidak ada integriti, nescaya ia tidak akan berpuasa tetapi berpura-pura berpuasa apabila berada didepan orang ramai. Inilah yang kita dapat lihat hari ini dimana kedai-kedai menjual makanan melalui pintu belakang dan makananyang dijual itu dibungkus dalam beg plastik hitam. Sedangkan pada bulan-bulan yang lain, kedai yang sama menggunakan beg plastik yang telus warna. Dan pelanggan yang datang membeli bukannya pada waktu munasabah untuk berbuka puasa. Kita dapat lihat mereka ini membeli makanan pada waktu tengahari yang mana masih ada hampir 8 jam sebelum berbuka puasa.


Hikmah ujian integriti ini akan mendidik kita akan keikhlasan mengerjakan ibadah ini. Tanpa pengawasan oleh individu yang lain dan tanpa perlu ada orang lain untuk menyempurnakan ibadah puasa; individu muslim yang taat akan berpuasa kerana Allah SWT. Ini adalah satu didikan rohani selama 30 hari dalam setahun membentuk jiwa yang ikhlas dan hati yang telus. Didikan ini dapat menjadikan individu muslim ini beretika dalam urusan dunianya. Andainya dia boleh melakukan ibadah puasa dengan ada sebarang pengawasan, sudah pasti dia juga boleh melakukan tugasan lain dalam tahap yang sama. Dan jika ini dapat dicapai, insya-Allah muga-muga kita tergolong dalam orang yang bertakwa pada Allah SWT.


Berbicara tentang beribadah kepada Allah SWT, marilah kita bermunasabah tahap ibadah kita kepada Allah Rabbul Jalil.

  • Kerana diperintah oleh Allah
  • Kerana inginkan balasan baik dari Allah
  • Kerana takutkan azab Allah
  • Kerana cintakan Allah

Ibadah kerana cintakan Allah adalah ibadah yang perlu kita capai. Andainya kerana cinta, nescaya kita akan melakukan yang terbaik malah akan memberi lebih dari apa yang difardukan. Kita pasti tanpa rasa berat untuk melakukan ibadah sampingan dalam bulan Ramadhan ini seperti membaca Al-Quran, Bertarawikh, melakukan infaq, qiam pada malam hari dan yang lain-lain lagi. Ini semua kerana cinta kita pada Allah. Marilah kita sama-sama berusaha untuk "bercinta" dengan Allah, muga-muga pada akhir Ramadhan ini, kita mendapat gelaran mutaqqin (orang yang bertakwa). Satu gelaran yang diberi oleh Allah SWT. Gelaran yang jauh lebih besar ganjarannya dari gelaran Professor, Datuk, Tan Sri dan lain-lainnya. Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment