Wednesday, April 28, 2010

Bangau oh Bangau...

Bangau oh bangau kenapa engkau kurus?
Macamana aku tak kurus, rumput panjang sangat
Rumput oh rumput, kenapa engkau panjang?
Macamana aku tak panjang, kerbau tak makan aku
Kerbau oh kerbau....



Lagu seloka rakyat ini menjadi lagu ketika kita didodoikan di dalam buaian. Tanpa kita sedari, lagu ini membudayakan kita kepada sikap menyalahkan orang lain. Bangau tidak merasa kekok untuk menyalahkan rumput dan rumput pula dengan senang hati menunding jari kepada kerbau. Dan ini berterusan hinggalah rantaian menyalahkan pihak lain sampai kepada ular. Dan hanya ular yang tidak mengambil keputusan untuk menyalahkan orang lain dengan menyatakan bahawa katak itu memang makanannya. Mungkin juga ini satu cara untuk menamatkan seloka ini jika tidak, ia mungkin mengambil ratusan muka surat untuk dihabiskan.

Sindrom "bangau oh bangau" ini telah menjadi darah daging dalam kehidupan kita setiap hari. Apabila Calon PKR Dato' Zaid kalah dalam PRK Hulu Selangor pada hari Ahad yang lalu, alasan BN menabur wang jutaan ringgit serta serangan peribadi keatas Dato' Zaid menjadi sebab PKR tidak berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor. Di luar negara, sebuah syarikat penerbangan eropah mengurangkan pekerjanya hanya setelah beberapa hari awan gunung berapi melanda ruang angkasa penerbangan eropah.

Contoh di atas merupakan satu sindrom bahawa setiap masalah itu bukan masalah kita, tetapi masalah mereka yang kita tak perlu dipertanggungjawabkan. Jika ini menjadi budaya kehidupan kita, nescaya kita akan terus terjerumus ke dalam zon selesa (confort zone) yang tidak memberi sebarang tekanan untuk kita bangun membetulkan diri sendiri. Zon selesa adalah musuh utama setiap individu dan juga setiap organisasi yang mahukan kecemerlangan (excellence). Sesungguhnya sindrom "bangau oh bangau" ini merupakan titik mula untuk kita memasuki zon tersebut. Ini tidak jauh bezanya dengan fahaman bahawa nasi secupak tidak akan menjadi segantang!

Andainya Rasulullah SAW berfikiran seperti ini, nescaya Islam tidak akan sampai pada kita. Masha-Allah, dengan izin Allah melalui Nabi Muhammad SAW, Islam telah sampai ke seluruh pelusuk dunia. Bayangkan bagaimana Rasulullah SAW mengatur strategi untuk berhijrah ketika kaum musyrikin telah mengepung kediaman Baginda SAW. Ini adalah sedikit kisah sirah Rasulullah SAW yang kita boleh ambil sebagai iktibar bahawa zon selesa tidak harus dibiarkan "selesa".

Ayuhlah saudaraku, marilah kita fikirkan dan ambil tindakan untuk "mengoncang perahu" (Rock the Boat) kita supaya kita tidak merasa selesa dengan apa yang kita ada hari ini demi untuk menjadikan peningkatan berterusan (continuous improvement) atau kaizen satu budaya umat Islam hari ini. Namun, harus ditekankan disini bahawa dalam mengarah usaha kita untuk mencapai kecemerlangan dan peningkatan yang berterusan, kita harus terus merasa rendah diri dan redha dengan ujian Allah SWT. Tidak termakan dengan umpanan syaitan yang mahu kita berbangga-bangga diri dan bongkak di muka bumi Allah SWT ini.

Ya Allah, berilah pada kami semua kekuatan dalam terus meningkat diri kami dalam memperhambakan diri kami pada Mu ya Allah, Ameen.

5.23pm @ Ang Mo Kio St 64
April 28th, 2010

Sunday, April 25, 2010

Pengurusan Modal Insan (Talent Management)

Akhbar Semalam membawa berita yang Presiden Filipina Aroyo telah memilih juru rias kukunya sebagai orang penting dalam salah satu instituisi pelaburan yang mengendalikan pelaburan bernilai ratusan biliion dollar. Presiden Aroyo dikecam hebat atas pemilihan itu yang dianggap sebagai pemilihan yang tidak berdasarkan merit, malah lebih kepada siapa yang lebih dekat dengannya. Atau dalam bahasa inggerisnya "know who not know how" Aroyo cuba mempertahankan pemilihan ini dengan menyatakan beliau perlu memilih seseorang yang beliau percayai untuk duduk mewakilinya dalam institusi ini.

Saya mengambil berita dari negara jiran, Filipina, bukan bermakna kita kekurangan contoh di dalam negara kita sendiri. Malah mungkin contoh yang ada di depan mata kita tidak terbilang banyaknya. Kadang-kadang agak mudah untuk melihat kuman di seberang laut dari gajah di depan mata :)

Apabila kita membicarakan tentang proses memilih orang yang terbaik untuk sesuatu tugasan, Allah SWT berfirman dalam Surah Al_Qasas ayat 26 yang bermaksud:

"Berkatalah salah seorang dari duaka: Wahai bapaku! Ambillah dia sebagai pekerja (kita), kerana sesungguhnya sebaik-baik orang yang patut bapa mengambilnya sebagai pekerja ialah orang yang kuat dan beramanah"

Sifat "KUAT" adalah merupakan Kebolehan, ilmu serta keupayaan (Skills, Knowledge & Ability) seseorang itu menjalankan tugasan dengan baik dan boleh mencapai matlamat tugasan tersebut. Manakala sifat "BERAMANAH" pula merujuk kepada sifat takut kepada Maha Pencipta - iaitu Takwa. Gabungan kebolehan, ilmu, keupayaan serta takwa adalah faktor penentu kejayaan sesuatu tugasan. Dan formula pemilihan ini digarap oleh Allah SWT dalam Al-Quran melalui cerita dua orang gadis yang perlu memberi minum kepada binatang gembala mereka dan mereka bertemu dengan Nabi Musa AS yang telah membantu mereka.

Oleh itu dalam memilih seseorang untuk membuat sesuatu perkara atau tugasan, kriteria "kuat" dan "amanah" hendaklah kita guna dan praktikkan. Terdapat banyak cara (tools)untuk mengenalpasti kriteria "kuat" & "amanah". Banyak juga buku-buku yang dikarang bagi membantu kita dalam proses pemilihan dan pengamabilan pekerja. Kita berharap dan berdoa agar kita dipermudahkan oleh Allah SWT untuk memilih yang terbaik dalam membantu kita membuat tugasan kita, insya-Allah.


Bertam @ 12.50pm
April 25th, 2010

Friday, April 16, 2010

Nasihat Buat Anakanda

Timang tinggi-tinggi
Sampai pucuk atap
Belum tumbuh gigi
Sudah pandai baca kitab

Pantun ini agak sinonim dengan kita yang hidup dalam genrasi X. Ini adalah "simplicity" doa ayahanda bonda yang mahu melihat perkembangan anak-anak yang cepat dan tangkas mengatasi lumrah. Yang mana lumrahnya pada umur 5 tahun barulah boleh mula membaca. Akhir-akhir kini, kita digemparkan dengan kisah Halimaton, pelajar cemerlang Kedah, yang berkeras pada mulanya untuk meneruskan hasrat untuk berkahwin pada umur 15 tahun dengan kekasih tersayang yang jugak masih remaja - 19 tahun. Saya teringat akan pantun ini:

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih saya lurutkan
Buang emak, buang saudara
Kerana kekasih saya turutkan

Saya pasti ini satu mimpi ngeri bagi setiap insan yang mempunyai anak perempuan jika diuji oleh Allah akan ujian sedemikian. Dalam kes Halimaton, dapat kita lihat di dada-dada akhbar akan bagaimana bondanya tidak perputus asa untuk terus "mengambil" kembali anaknya walaupaun Halimaton pada waktu itu sudah bulat untuk menikah. Alhamdulillah, berita beberapa hari yang lalu mengatakan Halimaton ingin kembali ke pangkuan bondanya.

Dalam mendidik anak-anak, kita bukan saja perlu mengajar mereka mengenal alif, ba, ta; A, B, C; mengajar berjalan, bercakap, berlari, berdikari tapi mungkin kini kita perlu mengajar agar mereka TIDAK LARI dari rumah :)

Dunia ini penuh pancaroba
Baba harap semua anakanda
Ingat pada Allah dan Rasulnya
Ingat pada Mama & Baba

Ingat Surah Luqman apa Allah kata
Tentang taat pada ibu dan bapa
Tentang solat lima waktu kita
Tentang nasihat Luqman Al Hakim pada anaknya

Ingat bahawa cinta pada manusia
Itu indah jika Cinta pada Allah
melebihi segalanya

Ingat bahawa syaitan tidak akan reda
dari terus mengajak anakanda berbuat dosa
Lindungi lah diri dengan solat dan doa
Dengan patuh pada ajaran Allah Subhanahuwata'ala

Insya-Allah Mama dan Baba
Akan istiqamah dalam doa
Untuk melihat semua anak-anak mama dan baba
Menjadi insan yang sentiasa Allah Redha
Lapangnya mama dan baba
Jika meninggalkan anak-anak yang sentiasa berdoa
Akan kebahagian mama dan baba
Bila mama & baba tiada lagi di dunia

Bayan Lepas @ 8.20am
Friday, April 16, 2010

Saturday, April 10, 2010

Kembara Buat Blog

Teknologi terkini, wadah yang diikuti
Dah lama dah dok ikuti blog akhi
Tapi tak tau nak buat sendiri
Alhamdulillah baru dapat buat hari ni

Maklumlah umur dah di hujung titi
Baru nak cuba jinak-jinak dengan IT
Anak umur 7 tahun pun tersengeh nampak gigi
Bila tengok kami tersenggut-senggut nak fahami
Apa yang disampaikan oleh Akh Budi

Itulah dari dulu buat tak peduli
Bila orang suruh belajar IT
Kita senyum dan cakap "Cikgu, saya tak reti"
Atau buat lawak kata Cikgu dah mati

Nasib baik ada kelas hari ni
Ada air sirap, ada pau inti
Dapat makan, dapat ilmu IT
Insya-Allah, boleh guna kemudian hari

Inilah entri pertama blog yang dipelajari
Moga ia menjadi motivasi
Untuk terus membuat entri demi entri
Berkongsi pengalaman yang ada sedikit ini

Kulim @ 6.32pm
Saturday April 10th, 2010