Thursday, July 22, 2010

Semua naik... apa yang turun?

Semua naik... minyak naik, gula naik, barang2 lain harga pun naik. Tak ada apa yang turun. Saya kata: Hujan turun. Allah menurunkan hujan seperti dalam Surah Al-An'aam ayat 99:

"Dan Dialah yang menurunkan air "hujan" dari langit lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau, Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang korma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman."

Harga minyak naik dan harga gula naik. Justifikasi diberi atas kenaikan harga-harga komoditi ini. Sememangnya semua justifikasi ini masuk akal (rasional). Kerajaan mengumumkan sejumlah besar wang yang dapat dijimatkan dengan penarikan subsidi keatas minyak petrol RON97 ditambah pula dengan pengurangan subsidi untuk RON95 dan gula. Ini adala realiti di depan mata kita pada hari ni. Ramai yang merungut atas penambahan kos kehidupan dan ada juga yang mengambil sikap tidak kisah. Tidak kisah sebab dia sudah letih bercakap dan tak ada penghujungnya jika hanya bercakap di kedai kopi, dalam blog dan lain-lain. Walaupun ada segelintir yang percaya harga minyak kita harus berada pada tahap dibawah RM1.50 seliter. Golongan ini percaya bahawa kemarahan rakyat akan menumbangkan pemerintah atau menggugat pemerintah sepertimana kesan minyak harga RM2.80 seliter dalam PRU yang lalu.


Mari kita bertanya kepada diri kita semua. Malaysia mengamalkan ekonomi kapitalis yang kononnya harga sesuatu barangan ini bergantung kepada kuasa penawaran dan permintaan. Namun tidak semua komoditi berada pada tahap yang bebas turun naik sebab adanya subsidi kerajaan. Dik sebab subsidilah, kuasa pengguna tidak boleh digunapakai dalam ekonomi ini. Pada ketika subsidi ditarik balik untuk RON97, ramai yang meminta diberi subsidi semua dan dah ada orang yang bijak agama menulis gurindam bertanya kemana pergi wang subsidi rakyat. Andainya kita semua bersatu hati untuk menggunakan kuasa pembeli seperti dalam ekonomi bebas, nescaya kita mungkin boleh merubah sesuatu harga barangan melalui jumlah pemintaan berbanding dengan penawaran.

Metaliti subsidi dikalangan melayu muslim masih tebal. Ramai daripada kita mengharapkan "subsidi" dan buah tangan dari kerajaan. Sememangnya semua harapan ini boleh dijustifikasikan berdasar hujah-hujah yang tertentu. Seorang pemikir barat berkata jika sesuatu fakta itu dikaji dan diolah, ianya pasti berpihak pada pengkaji tersebut. Dalam membina surau-surau dan masjid atau projek pembesaran tempat ibadah ini, kita pasti akan cari YB-YB untuk mintak derma peribadi. Berapa gaji YB-YB ini? Jika setiap minggu terpaksa memberi derma peribadi, dari mana hasil "subsidi" yang perlu mereka beri? Apakah ini akan menjurus kapada wujudnya tarikan untuk rasuah projek, menyalahgunakan kuasa dan sebaginya? Apakah kita sebenarnya sebab asal (root cause) semua ini terjadi. Atau pun kita mengambil sikap, orang lain mintak, tak kan kita tak boleh mintak?

Akal kita adalah umpama ladang. Ladang tidak pernah kisah apa yang ditanam diladangnya. Keputusan untuk apa yang akan ditanam adalah keputusan seorang petani. Jika petani ini menanam sesuatu yang boleh membawa hasil dan merubah kehidupannya, maka ladang ini akan memberi hasil seperti apa yang ditanam. Andainya petani ini membuat keputusan untuk menanam lalang yang tidak punya apa-apa hasil, maka itulah pengeluaran ladang tersebut. Begitulah juga dengan minda kita. Andainya kita membuat keputusan untuk melalukan sesuatu yang betul, maka anggota badan kita akan melakuan sesuatu yang betul dan sebaliknya.

Firman Allah SWT dalam Surah Taaha ayat 15:
"Sesungguhnya saat (hari kiamat) akan datang. Aku dengan sengaja merahsiakan (waktunya) agar setiap jiwa diberi balasan (dan ganjaran) sesuai hasil usahanya."
Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment