Bayan Baru: Pada hari ini, di Masjid Bayan Baru, Pulau Pinang, khatib berkhutbah mengenai tiga golongan manusia mengikut ayat 32 Surah Al-Faatir.
Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).
Ayat ini menyatakan yang Al-Quran ini diwarisi oleh orang-orang yang Allah pilih untuk mewarisinya. Namun begitu terdapat 3 golongan orang yang mewarisi Al-Quran kalam Allah SWT. Tiga golongan tersebut adalah:
Golongan 1: Orang yang menzalimi diri mereka
Ini adalah golongan yang diberi peluang untuk mewarisi Al-Quran tetapi tidak mengendahkan ajaran Al-Quran. Mereka ini menzalimi diri mereka sendiri dengan membiarkan diri mereka rosak binasa samaada di dunia atau di akhirat nanti melalui perbuatan mengikari perintah-perintah Allah SWT. Allah juga telah berfirman dalam surah Az-Zariyat yang bermaksud:
Tidak Aku jadikan jin dan insan (manusia) melainkan berbahagialah mereka itu (yakni jin dan manusia) dengan ibadat meraka kepada Aku.
Golongan 2: Orang yang bersikap sederhana
Golongan ini ditafsirkan adalah golongan yang tidak ada istiqamah dalam membuat kebaikan. Adakalanya mereka begitu taat pada perintah Allah dan ada ketikanya mereka ingkar akan suruhan serta larangan Allah SWT. Golongan ini, imanya ada pasang dan surutnya. Ada naik dan ada turunnya. Ada kalanya golongan ini duduk di atas pagar dalam usaha membuat kebajikan. Orang-orang yang berada dalam golongan ini harus pandai memilih rakan sekeliling serta persekitaran agar ianya membantu kepada membuat kebajikan.
Golongan 3: Orang yang mendahului membuat kebajikan
Inilah golongan yang akan bahagia di akhirat nanti, Insya-Allah. Golongan ini akan berlumba-lumba membuat kebajikan agar mereka mereka mendahului orang lain bukan kerana ingin riak dan sombong tetapi kerana Allah semata-mata. Inilah golongan yang harus menjadi matlamat kepada kita semua untuk menganggotainya.
Marilah kita bermuhasabah didalam golongan manakah kita pada hari ini. Bagaimana untuk kita menjadi ahli tetap golongan 3 dan terus menerus didalam golongan ini dengan usaha dan doa meminta rahmat serta hidayah Allah SWT. Andai kita punya rakan dalam golongan 1 & 2, apakah kita tidak sayang pada mereka dan apakah peranan kita untuk membawa mereka menjadi golongan 3. Marilah kita berdoa pada Allah SWT agar kita dapat membawa diri kita, ahli keluarga kita serta muslim yang lain masuk ke golongan 3 dengan rahmat serta hidayah Allah SWT, Insya-Allah. Amin.
No comments:
Post a Comment