Monday, May 10, 2010

Syurga di bawah tapak kaki ibu

Kasih ibu membawa ke syurga
Hari Ahad pada minggu ke-2 dalam bulan Mei setiap tahun, ramai akan merayakan Hari Ibu. Tarikh ini merupakan tarikh yang diraikan di Amerika Syarikat dan majority di negara-negara lain. Namun beberapa buah negara lain menetapkan tarikh yang lain untuk meraikan Hari Ibu. Hari ibu ini diasaskan oleh sekumpulan wanita yang ingin meningati kematian ibu-ibu mereka dengan mengadakan upacara keagamaan di gereja-gereja. Setelah beberapa dekat, meraikan hari ibu bukan lagi satu upacara keagamaan di Amerika malah ia merupakan hari untuk mengingati ibu tersayang. Tambahan lagi dengan nilai komesial yang mencecah ratusan juta dollar Amerika dengan jualan barangan serta promosi lain.

Islam meletakan ibu bukan sehari dalam setahun. Islam menghargai jasa ibu melalui hadis-hadis nabi serta ayat-ayat Kalam Allah SWT. Kedudukan tinggi yang diberi kepada ibu hinggakan seorang anak tidak boleh mengherdik ibunya walau dengan perkataan “ah” sekalipun. Pepatah “Syurga di bawah tapak kaki ibu” membawa makna bagaimana seseorang anak itu harus menghormati ibunya. Usah dipertikaikan tugas dan tanggungjawab seorang ibu membesarkan kita jika itu masih tidak menyakinkan kita, lihat saja bagaimana seorang ibu membawa kandungan anakya semasa masih di dalam rahim lagi selama 9 bulan. Tiada pernah rasa penat membawa perut yang besar, tiada pernah merungut akan kesukaran untuk berjalan, tidur serta membuat kerja seharian semasa 9 bulan ini. Lihat juga bertapa peritnya sakit bersalin namun, senyuman lebar dilemparkan kepada bayi yang baru dilahirkan tanpa rasa benci disebabkan kesakitan melahirkan bayi tersebut.

Hampir 43 tahun yang lalu, emak melahirkan saya dan hingga ke hari ini, emak masih merasakan saya seperti seorang anak kecil apabila bercakap dengannya. Pertanyaan dan nada percakapan melahirkan rasa kasih dan sayang tanpa ada sebarang batasan. Emak tidak pernah mengungkit penat jerit membesarkan kami berlima dan tidak pernah meminta balasan atas semua usaha tersebut. Saya pasti, tidak ada nilai wang yang boleh kami berlima membayar jasa emak selama ini. Terima kasih mak!!

Saya pernah dikritik kerana bercakap pasal hari ibu. Kata mereka, hari ibu bukan budaya orang Islam dan dalam Islam tidak pernah ada hari ibu. Ibu dihargai setiap hari. Saya bersetuju dengan pendapat ini, namun memastikan kita berfikir tentang ibu pada satu hari dalam setahun, tidak lah salah rasanya. Ini kerana, kita selalu tidak menghargai apa yang kita ada hinggalah ianya hilang begitu saja.

Saya ingin meminta anda berfikir sejenak peranan ibu kita semasa hidupnya:
Seorang isteri kepada suami
Seorang ibu kepada anak-anaknya
Seorang pekerja kepada majikannya
Seorang pendidik kepada generasinya
Seorang hamba kepada Yang Maha Esa
Seorang pengurus kepada hal-ehwal rumahtangganya
Seorang tukang masak yang hebat
Seorang juruhias dalaman (interior designer) untuk rumahnya
Dan banyak lagi yang mungkin tak terhitung banyaknya
Dan dengan semua tugasan-tugasan yang mencabar ini, tidak pernak satupun dari tugas ini terlepas darinya.

Kami berdoa untuk semua insan yang bergelar ibu:

Ya Allah, Tuhan sekelian alam, kami bermohon pada mu Ya Allah, Engkau ampunilah semua dosa-dosa mereka, samada dosa yang terdahulu, sekarang atau yang akan datang. Ya Allah, Engkau kasihi lah mereka sebagaimana mereka mengasihi anak-anak mereka. Ya Allah, Engaku berkatilah kehidupan mereka denga limpahan rahmatMu, hidayahMu. Murahkanlah rezeki mereka Ya Allah, berkatilah rezeki mereka Ya Allah.Ya Allah Yang Maha Pemurah, Engkau masukkan mereka kedalam syurgaMu ya Allah. Jauhilah mereka dari azam malikat maut, azam kubur dan kesukaran di hari akhirat. Limpahkan mereka dengan nikmat kubur, kesenangan di hari akhirat. Ya Allah, matikan lah mereka dalam iman kepada mu Ya Allah.

Someone may say: “What so great about Mother’s Day?”

I will say: “Yeah… I am not sure how great a Mother’s Day is but I am so sure how great my mom is!”

To all the Moms… HAPPY MOTHER’S DAY 2010

Bertam
May 8th, 2010

Thursday, May 6, 2010

100 Darjah Celsius

Perbezaan antara kecemerlangan dan pencapaian yang biasa dalam kehidupan kita selalunya sangat kecil. Namun imbuhan kecemerlangan atau yang menjadi juara adalah cukup besar jika dibandingkan dengan yang tidak menjuarai sesuatu pertandingan. Air akan menjadi cukup panas pada 99 darjah celsius tetapi dengan perbezaan satu darjah kepada 100 darjah celsius, air akan mula bergelegak (boiling) dan mengeluarkan stim. Keupayaan stim ini dapat mengerakan lokomotif yang beratnya boleh mencakap ribuaan kilogram. Bayangkan... dengan hanya perbezaan satu darjah celsius, air bertukar dari sifatnya yang hanya panas kepada satu jenis gas yang telus (transparent) dan mempunyai kekuatan yang tak terhingga. Stim ini juga boleh menjana kuasa elecktrik yang boleh menerangkan satu bandaraya.

Saya ingin berkongsi beberapa contoh 100 degree celsius dalam kehidupan kita sebagai satu perkongsian minda untuk kita semua serta menjadi ingatan kepada diri saya untuk terus memacu kecermelangan dalam kehidupan kita semua, insya-Allah. Saya berdoa agar contoh-contoh ini akan mencetus sedikit motivasi dalaman kita dan terus berazam untuk menjadi hamba Allah yang sebaik mungkin.

100 darjah celsius Akademik
Mendapat A dalam akademik memerlukan markah sekurang-kurangnya 85%. Namun jika kita hanya mampu mendapat 84%, perbezaan yang sedikit ini bakal membezakan kita samada dapat memasuki universiti pilihan atau tidak. Jika kita bangun untuk berusaha memberi komitment 100 darjah celsius dalam pelajaran kita bersama doa, insya-allah kita mungkin akan berjaya mengondol A dalam pencapaian akademik kita.

100 darjah celsius pencapaian
Perbezaan antara Husin Bolt (pemenang pingat emas 100M dan 200M sukan Olimpik 2008) dan pemenang tempat kedua adalah nano saat. Menjadi pemegang pingat perak atau gangsa adalah satu kegagalan dalam sejarah sukan. Tidak ramai yang ingat siapakah yang mendapat tempat kedua dalam sesuatu acara. Untuk menjadi sesaorang yang mencipta sejarah, tempat kedua bukanlah satu pilihan.

Dalam pertandingan golf PGA selama 25 tahun, purata perbezaan pukulan antara pemenang dan tempat kedua adalah kurang dari 3 pukulan, namun perbezaan imbuhan hadiah kemenangan hampir 50%. Lagi sekali, dengan perbezaan sangat kecil antara yang menang dan kalah bolem membawa perbezaan yang cukup besar dari segi balasan.

Perkara yang sama dapat kita perhatikan dalam perlumbaan sukan permotoran Formula 1. Perbezaan masa untuk permenang tempat pertama dan kedua cukup sedikit. Hanya yang terbaik dalam terbaik dapat berdiri di podium bernombor 1.

100 darjah celsius kebolehan
Saya juga ingin berkongsi kisah Nabi Sulaiman AS seperti yang ada dalam Al-Quran yang mana Nabi Allah Sulaiman AS bertanyakan kepada bijak pandai siapa yang boleh membawa istana Puteri Balqis kehadapan Baginda Nabi Allah Sulaiman AS sebelum tibanya Puteri Balqis mengadapnya. Surah Naml ayat 38-40:

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?”

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”.

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.

Kisah Nabi Allah Sulaiman AS ini memberi penekanan bahawa perbezaan dalam kebolehan memberi kelebihan. Jika dilihat dari darjah kecepatan duduk ke posisi berdiri berbanding dengan kerlipan mata, tidak banyak perbezaannya namun, orang yang berpengetahuan dari Kitab Allah ini telah berjaya membawa singgahsana Balqis ini lebih cepat dari Jin Ifrit.

Kisah di atas memberi pengajaran kepada kita bertapa pentingnya untuk menduduki tempat pertama dalam apa jua yang kita lakukan dalam kehidupan kita. Sikap tidak mudah terima bahawa tempat kedua sudah cukup bakal mencetus motivasi dalaman yang akan terus memacu tenaga, minda serta upaya untuk menjadi insan yang cemerlang disisi Allah SWT, Insya-Allah.

11.25am @ Cyberplex
May 5th, 2010

Saturday, May 1, 2010

Selamat Hari Pekerja 2010

Selamat hari pekerja
Buat semua pejawat awam dan pekerja swasta
Tak kira rakyat Malaysia, Indon atau Bangla
Hari ini kita rehat badan, rehat minda

Jadi pekerja ada harinya
Jadi pekerja ada imbuhannya
Jadi pekerja ada majikannya
Jadi pekerja bukan jadi hamba

Namun kita tak boleh lupa
Yang kita ini hamba pada Yang Maha Esa
Hamba Allah tak ada hari cutinya
Hamba Allah tak ada waktu tugasanya
Hamba Allah hanya pasrah akan redha-Nya
Kita tak punya hak nak tanya apa-apa
Tak punya "entitlement" dalam imbuhannya
Kita doa Allah beri apa saja
Tak mampu untuk masuk syurga-Nya
Dengan ibadat yang tak seberapa
Namun tak sanggup untuk ke Neraka-Nya
Mohon belas, ehsan, Allah subhanahuwataala
Agar kita menjadi penghuni Syurga Firdaus-Nya

Kita bekerja bukan saja untuk dunia
Kita niat agar tugas menjadi ibadat untuk Nya
Sebab semua itu bermula dengan niat kita
Jika niat itu betul di lafazkan kita
Insya-Allah, dunia ada, ibadat ada

Pada-Mu ya Allah Subhanahuwataala
Kami mengharap redhaMu sebagai pekerja
Agar rezeki yang kami dapat ini halal belaka
Tidak ada unsur haram & subahat didalamnya
Jadikan kami sentiasa berjaya
Dalam semua tugasan dan kerja-kerja
Tidak malas dan curi tenaga
Pada Mu ya Allah kami memaling muka
Mengharap kerja kami dibalas syurga


1.53pm @ Bertam
May 1st, 2010